Mukadimah
Isu Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur bukan perkara baharu. Kronologi bermula sekitar 2016, apabila kerajaan mengumumkan rancangan pembangunan semula kawasan itu melalui projek perumahan moden. Pada awalnya, sebahagian kecil penduduk bersetuju kerana ditawarkan pampasan dan unit rumah baharu. Namun, sebahagian besar penduduk membantah kerana merasakan pampasan tidak adil dan hak mereka sebagai pemilik tanah diketepikan.
Konflik ini berlarutan bertahun-tahun dengan siri bantahan serta desakan agar nilai pampasan dikaji semula. Walaupun pihak kerajaan dan pemaju berulang kali memberi jaminan pembangunan akan memberi manfaat. Namun persoalan pokoknya:
Adakah tanah milik individu boleh diambil secara paksa walaupun diganti dengan pampasan?
Baik sebelum tu mari kita bahas satu persatu, apa yang terkait dalam permasalahan isu Kampung Sungai Baru
1. Kategori Pemilikan Tanah dalam Islam
Dalam Islam pemilikkan tanah ini dibahagikan kepada 3 kategori :
a) Pemilikan Individu (al-Milkiyyah al-Fardiyyah)
- Tanah yang diperoleh melalui warisan, hibah, jual beli, usaha (ihya’ al-mawat) atau pemberian negara (iqta’).
- Kepemilikkan ini dilindungi penuh oleh agama.
- Rasulullah ﷺ bersabda:“Barangsiapa merampas sejengkal tanah secara zalim, Allah akan kalungkan kepadanya tujuh lapis bumi pada hari kiamat.” (HR Bukhari & Muslim)
- Negara tidak berhak mengambil tanah individu kecuali jika pemilik mendapatkannya secara batil.
b) Pemilikan Umum (al-Milkiyyah al-‘Ammah)
- Merangkumi harta atau sumber daya yang semula jadi untuk kegunaan orang ramai, seperti air, minyak, gas, elektrik, padang ragut dan jalan raya.
- Rasulullah ﷺ bersabda:“Kaum Muslim bersyarikat dalam tiga perkara: air, padang ragut dan api.” (HR Abu Daud)
- Tanah dan sumber umum tidak boleh diprivatisasi atau diserahkan kepada kapitalis. Ia mesti diurus oleh negara untuk kepentingan seluruh rakyat.
contoh : negara tidak boleh serahkan carigali minyak kepada syarikat swasta samada Petronas atau pun syarikat luar.
- Tanah dan sumber umum tidak boleh diprivatisasi atau diserahkan kepada kapitalis. Ia mesti diurus oleh negara untuk kepentingan seluruh rakyat.
c) Pemilikan Negara (al-Milkiyyah ad-Dawlah)
- Meliputi harta yang masuk ke baitulmal melalui sebab syar‘i, seperti kharaj, fai’, jizyah, ghanimah dan usyur.
- Negara hanya sebagai pengelola, bukan pemilik mutlak.
- Hasil harta ini mesti digunakan untuk maslahat rakyat, bukan keuntungan golongan tertentu.
👉 Maka, tanah yang dimiliki penduduk Kampung Sungai Baru melalui warisan atau jual beli jelas termasuk dalam kategori pemilikan individu, bukan pemilikan negara atau umum. Oleh itu, ia tidak boleh dirampas atas nama pembangunan.
2. Jual Beli vs Pampasan
Jual Beli
- Pertukaran harta dengan harta melalui akad sah.
- Syarat utama: kerelaan kedua pihak.
- Firman Allah ﷻ:“…kecuali dengan perdagangan yang dilakukan suka sama suka di antara kamu.” (an-Nisa’ 4:29)
Pampasan
- Bayaran ganti rugi kerana kehilangan hak.
- Berlaku bukan atas dasar kerelaan, tetapi paksaan.
- Pampasan tidak sama dengan jual beli, kerana ia bukan akad suka sama suka.
👉 Oleh itu, menghalau penduduk dengan memberi pampasan tidak boleh dianggap sebagai jual beli. Ia tetap perampasan.
3. Dalil Larangan Merampas Tanah
- Hadis Nabi ﷺ“Barangsiapa mengambil tanah orang lain walau sejengkal, Allah akan kalungkan ke lehernya tujuh lapis bumi pada hari kiamat.” (HR Muslim)
- Kisah Umar al-Khattab r.a.
- Pernah berlaku seorang sahabat cuba mengambil tanah milik Yahudi untuk mendirikan masjid.
- Umar mengutus tulang yang dilarik dengan pedang kepada sahabat itu sambil memberi amaran:“Jangan engkau ambil tanah itu. Jika engkau berbuat demikian, aku akan tegakkan pedang ini di atasmu.”
- Ini menunjukkan bahawa walaupun untuk masjid, tanah individu tidak boleh dirampas. Apatah lagi untuk projek komersial.
4. Analisis Isu Kampung Sungai Baru
- Jika tanah Kampung Sungai Baru memang milik sah penduduk, maka tindakan mengusir mereka adalah kezaliman menurut agama.
- Pampasan yang ditawarkan tidak mengubah hukum, kerana tidak berlaku dengan kerelaan pemilik.
- Menyerahkan tanah kepada syarikat pemaju untuk projek kondominium mewah bukanlah maslahah umum, tetapi memberi keuntungan kepada pemilik modal.
- Dalam Islam, negara wajib melindungi hak rakyat, bukan menjadi perisai pemilik modal.
Kesimpulan dan Seruan kepada Pemimpin
Isu Kampung Sungai Baru mendedahkan pertembungan antara sistem kapitalis dan hukum Islam. Syariah menegaskan:
- Tanah individu tidak boleh dirampas, walau dengan alasan pembangunan.
- Tanah umum wajib diurus untuk kepentingan rakyat, bukan diswastakan.
- Tanah negara hanyalah amanah yang mesti diagih ikut hukum syarak.
📌 Rasulullah ﷺ bersabda:
“Imam (pemimpin) adalah perisai, yang orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya.” (HR Bukhari & Muslim)
Maka, pemimpin wajib menanamkan rasa takut kepada Allah ﷻ dan sedar bahawa setiap jengkal tanah rakyat akan ditanya di akhirat. Pemimpin Islam seharusnya menjadi perisai umat, bukan perisai pemilik modal.