Kisah Abdullah bin Sahal dibalik peristiwa Zara
Dalam sejarah Negara Madinah, terdapat sebuah peristiwa penting yang menjadi rujukan para ulama dalam isu diyat. Ia juga dapat dilihat bagaimana negara mempraktikkan keadilan dalam satu-satu kes yang tidak terjangkau.
Dalam kisah Abdullah bin Sahal, beliau bersama rakannya pergi ke Khaibar untuk suatu urusan. Namun, Abdullah telah ditemui mati dibunuh, sedangkan pembunuhnya tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.
Abdurrahman bin Sahal (adik Abdullah bin Sahal), bersama dua orang sepupunya datang mengadu kepada Rasulullah ﷺ menuntut keadilan.
Rasulullah ﷺ menawarkan dua pilihan: sama ada mereka mendatangkan bukti siapa pembunuhnya, atau orang yang dituduh diminta bersumpah menafikan tuduhan. Tetapi kerana bukti yang kukuh tidak ada, perkara ini sukar diselesaikan melalui qisas.
Akhirnya, Rasulullah ﷺ mengambil jalan keadilan dengan membayar diyat (ganti rugi) kepada keluarga mangsa daripada harta Baitul Mal. Inilah prinsip pemerintahan di Madinah – bahawa nyawa seorang warganya begitu berharga, dan keluarga mangsa tidak boleh dibiarkan tanpa pembelaan meskipun pembunuh sebenar tidak diketahui.
klik untuk sumber rujukkan atau klik yang ini
Prinsip Keadilan Negara Madinah: Nyawa Tidak Boleh Dihilangkan Begitu Sahaja
Dari kisah ini, kita belajar bahawa keadilan tidak semestinya terhenti hanya kerana pembunuh gagal dibuktikan. Pemerintahan Madinah ketika itu Rasulullah ﷺ menunjukkan contoh bahawa pihak berautoriti mempunyai tanggungjawab memastikan waris mangsa tetap mendapat hak mereka. Hikmah di sebalik pembayaran diyat ini ialah:
- Menghormati nyawa manusia – setiap jiwa dimuliakan, dan kehilangan nyawa tanpa ganti rugi adalah satu bentuk kezaliman.
- Menutup ruang dendam – jika keluarga mangsa dibiarkan tanpa pampasan, mereka mungkin menuntut balas secara sendiri.
- Tanggungjawab negara – pemerintah wajib melindungi rakyat, dan jika keadilan undang-undang tidak dapat dicapai, maka negara perlu hadir dengan jalan tengah.
Kaitan Dengan Kes Zara
Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kes tragis melibatkan adik Zara, yang meninggal dunia dalam keadaan penuh tanda tanya. Ada pihak yang mengaitkannya dengan insiden buli, sementara ada juga yang menyebut kemungkinan lain seperti tekanan emosi atau cubaan bunuh diri. Sehingga kini, punca sebenar kematian masih dalam siasatan dan belum dapat dibuktikan secara jelas.
Namun apa pun puncanya, keluarga mangsa tetap menanggung ujian yang mendalam – bukan sahaja kerana kehilangan insan tersayang, tetapi juga kerana masih tercari-cari keadilan dan jawapan yang pasti.
Jika kita meneliti kisah Abdullah bin Sahal di Madinah, jelas bahawa ada solusi apabila punca atau pelaku tidak dapat dibuktikan secara pasti. Dalam keadaan sebegini, prinsip keadilan Madinah boleh dijadikan inspirasi dasar negara. Antara cadangan yang wajar dipertimbangkan ialah mekanisme pampasan negara kepada waris mangsa – membayar diyat 100 ekor unta atau 1000 dinar.
Langkah sebegini bukan sahaja memberi kelegaan kepada waris, malah menegaskan bahawa negara tidak pernah melepaskan tanggungjawabnya terhadap rakyat. Lebih penting lagi, ia memberi mesej kepada masyarakat bahawa setiap nyawa adalah berharga dan tidak boleh dipandang ringan.
Kesimpulan
Kisah Abdullah bin Sahal mengajar kita bahawa pemerintahan Madinah sentiasa menegakkan keadilan walaupun dalam keadaan yang rumit. Apabila pembunuh tidak dapat dibuktikan, Rasulullah ﷺ tetap memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan melalui pembayaran diyat.
Oleh itu, dalam konteks kes Zara, langkah paling adil adalah negara tampil membayar diyat kepada keluarga mangsa. Inilah jalan tengah yang harmoni antara tuntutan undang-undang, keadilan sosial, dan prinsip sejarah yang pernah diamalkan di Madinah.
Nyawa rakyat adalah amanah, dan negara wajib memastikan keadilan ditegakkan walau dengan cara yang mungkin tidak sempurna, tetapi tetap membawa rahmat kepada semua.