Pengenalan: Maksud Falsafah
Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani philosophia yang bermaksud cinta kepada hikmah atau kebijaksanaan. Dalam bahasa Arab, ia disebut falsafah (الفلسفة) atau kadangkala digunakan istilah hikmah (الحكمة).
Secara umum, maksud falsafah ialah usaha manusia untuk memahami hakikat kewujudan, mencari kebenaran, dan menjawab persoalan besar tentang alam, manusia, dan Tuhan menggunakan akal dengan renungan yang mendalam (critical thinking).
Namun, maksud falsafah ini tidak statik. Ia berubah mengikut zaman dan budaya:
- Di Greek, falsafah bermula sebagai usaha mencari sebab musabalah keberadaan alam ini.
- Dalam Islam, falsafah bertembung dengan wahyu, lalu melahirkan perdebatan panjang antara akal dan agama.
Sejarah : Falsafah Awal di Greek
Falsafah mula berkembang sekitar abad ke-6 Sebelum Masihi di Yunani. Masyarakat ketika itu mula meninggalkan penjelasan mitos dewa-dewa, lalu mencari jawapan rasional(hujah yang memuaskan akal).
Beberapa tokoh utama falsafah awal Greek seperti Thales, Anaximander, Heraclitus, Pythagoras, Parmenides.
Tokoh-tokoh besar Greek dan popular di dunia Islam Socretes, Plato, Aristotle.
Aristotle mengembangkan logik, metafizik dan disiplin ilmu, kemudian ia berkembang dan merebak ke dunia Islam.
Falsafah Masuk ke Dunia Islam
Selepas keruntuhan empayar Greek, karya-karya mereka diterjemahkan oleh sarjana Kristian Nestorian (pengikut Patriarch Constantinople – Pope Rome Timur di Byzantine – sekarang Istanbul, Turki) ke dalam bahasa Syriac, kemudian ke bahasa Arab pada zaman Daulah Abbasiyah (abad ke-8–9 M).
Khalifah seperti al-Ma’mun mendirikan Bayt al-Hikmah di Baghdad, tempat penterjemahan dan kajian falsafah. Dari sinilah lahir para Ahli Falsafah Islam:
- al-Kindi – menekankan bahawa falsafah boleh sejalan dengan wahyu.
- al-Farabi – menggabungkan falsafah Plato & Aristotle, terkenal dengan konsep al-Madinah al-Fadilah(Negara Utama)
- Ibn Sina – mengembangkan falsafah jiwa, metafizik, dan perubatan.
- Ibn Rushd – membela falsafah sebagai kawan kepada syariah.
Munculnya Ilmu Kalam dan Aliran Pemikiran
Pertembungan antara falsafah Yunani dan akidah Islam menimbulkan perdebatan teologi (ilmu kalam). Persoalan utama: Apakah manusia bebas atau terikat dengan takdir? Apakah sifat Allah boleh dijelaskan dengan logik?
Beberapa aliran muncul:
- Jabariyah – manusia tidak punya kebebasan, semua ditentukan oleh Allah.
- Qadariyah – manusia bebas sepenuhnya, demi menjaga keadilan Allah.
- Muktazilah – menekankan akal sebagai asas, menolak pemaksaan mutlak; lahir lima prinsip utama termasuk tauhid dan keadilan.
Aliran-aliran ini jelas menunjukkan pengaruh falsafah Yunani dalam cara berfikir, terutama dari sudut logik dan rasionalisme.
Dari pembahasan inilah munculnya mazhab akidah dalam tubuh umat Islam. Padahal dalam Islam tidak boleh ada mazhab dalam berakidah.
Respon Ulama Islam terhadap Falsafah
Pembahasan falsafah ada yang membawa manfaat dari sudut logik dan ilmu, tapi ia juga membawa cabaran kepada akidah.
Pembahasan yang bersifat umum seperti sains, math..ok la, tapi bab metafizik (ilmu pembahasan hal hal diluar kemampuan akal), yang ini dipertimbangkan. Ulama Islam menyaringnya.
1. Ahli Hadis
- Golongan awal seperti Imam Ahmad bin Hanbal menolak penggunaan logik berlebihan.
- Prinsip mereka: kembali kepada nas al-Quran dan hadis tanpa takwil yang berlebihan.
2. Ash‘ariyah & Maturidiyah
- Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari keluar dari Muktazilah, membina teologi pertengahan.
- Konsep “kasb” – manusia berbuat, tetapi dalam kuasa Allah.
- Imam Abu Mansur al-Maturidi menekankan peranan akal dalam mengenal Tuhan, tetapi masih mengekalkan keseimbangan.
3. al-Ghazali
- Tokoh besar yang menulis Tahafut al-Falasifah (Kerancuan Falsafah).
- Mengkritik falsafah kerana menyesatkan dalam tiga isu: kekekalan alam, pengetahuan Allah terbatas, dan kebangkitan jasmani.
- Namun, al-Ghazali tetap menggunakan logik falsafah untuk mempertahankan akidah.
4. Ibn Rushd (Averroes)
- Menulis Tahafut al-Tahafut (Kerancuan atas Kerancuan) untuk membela falsafah.
- Baginya, tidak ada pertentangan antara wahyu dan akal; yang benar pasti selaras dengan yang benar.
Kesimpulan
Maksud falsafah pada asalnya ialah usaha manusia mencari kebenaran dengan akal. Dari Yunani, ia berkembang ke dunia Islam melalui terjemahan karya-karya Falsafah klasik Yunani Greek. Falsafah memberi sumbangan besar kepada ilmu logik, sains, dan perubatan.
Orang Yunani sebenarnya berjalan di atas jalan yang betul dalam usaha mencari hakikat. Mereka menggunakan akal sebagai alat pencarian, bertanya tentang asal-usul alam, sebab-musabab kewujudan, dan makna kehidupan. Hanya sahaja, mereka tidak sampai menemui Tuhan yang sebenar. Walaupun begitu, dalam falsafah mereka sudah ada bayangan tentang konsep kuasa yang satu — seperti Parmenides yang menegaskan wujud itu abadi dan tunggal.
Apabila falsafah ini masuk ke dunia Islam, berlaku goncangan. Dari sinilah ulama Islam menyaring, menapis, dan menyesuaikan falsafah samada selari dengan tauhid atau menyimpang.
Ala kulli hal, pengalaman sejarah ini mengajar kita bahawa akal adalah jalan, namun akal itu sifatnya terbatas tidak mampu mengindera perkara ghaib maka wahyu diperlukan dalam hal-hal ghaib. Manusia boleh mencari dengan akal, tapi fungsi akal itu mampu membenarkan kebenaran.
P/s Jika Ahli Falsafah itu berinteraksi dengan ahli hikmat pengikut nabi musa, pasti mereka menemui tuhan. Ada persoalan menarik, dari mana Plato dapat tahu pasal Atlantis. Kisah Atlantis yang digambarkan Plato ada bau-bau kisah Nabi Nuh. Persoalan dari mana ia mendapat maklumat awal itu? Akal tidak akan mampu berfikir tanpa adanya maklumat awal.